Pandu di laluan tidak betul di Bulatan Icom Square, pemandu Bezza merah disaman

KUCHING-- Padah mahu cepat dengan memandu kereta di laluan yang tidak betul, seorang pemandu Perodua Bezza yang tular di media sosial kerana memandu di laluan salah di Icom Square di sini dikenakan saman. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Bingkok John berkata, video yang memaparkan kelakuan pemandu terbabit menjadi tular di media sosial kerana melakukan kesalahan tidak ikut laluan yang betul di Bulatan Icom Square yang membahayakan keselamatan diri dan orang lain dikatakan berlaku pada Sabtu lalu. 

"Polis mengesan satu rakaman dashcam dari sebuah kenderaan awam yang dimuat naik ke Facebook menunjukkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza warna merah yang telah melakukan kesalahan tidak mengikut laluan yang betul tanpa mematuhi laluan lalu lintas di Bulatan ICOM Square. 

"Video ini juga menerima banyak komen negatif atas tindakan pemandu tersebut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. 

"Hasil tindakan dan risikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuching telah berjaya mengesan pemandu kenderaan terbabit dan telah diarahkan untuk hadir ke BSPTD Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak.

Jelasnya lagi, semalam pemilik kenderaan terbabit telah hadir ke BSPTD Kuching sekitar jam 7.30 petang.

"Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan mengakui kesalahan tidak mengikut laluan yang betul di jalan raya. 

"Pemandu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Kaedah 8(3) - Kaedah - kaedah lalulintas 166/59 iaitu kesalahan tidak mengikut tanda di laluan Trafik. 

"Satu saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan kepada pemandu (OKS) berkenaan atas kesalahan yang dilakukan," ujarnya.
Next Post Previous Post