Padah miliki dadah, lelaki dipenjara 36 bulan dan tiga sebatan di Limbang

LIMBANG -- Seorang lelaki dipenjara 36 bulan dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Limbang semalam (Jumaat), kerana memiliki 8.99 gram dadah Methamphetamine, pada 2017.

Majistret Shafiza Abdul Razak Tready menjatuhkan hukuman itu selepas Nayan Manglan, 36 tahun didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Parum Niot berkata mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya di kawasan hadapan sebuah rumah tanpa nombor Kampung Meritam, Limbang pada 22 Mac 2017 pada jam lebih kurang 5.30 petang mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum dibawah Seksyen 39a(1) akta yang sama.

Kedua-dua akta itu katanya memperuntukkan hukuman penjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak boleh lebih daripada sembilan sebatan.

“Tertuduh turut didapati bersalah bagi satu pertuduhan lain memiliki 6.52 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di dalam rumah alamat yang sama jam lebih kurang 5.50 petang mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan dihukum dibawah Seksyen 39a(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan tetapi tidak boleh lebih daripada sembilan sebatan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya bagi kesalahan pertama mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan tiga sebatan, manakala bagi kesalahan kedua mahkamah telah menjatuhkan hukuman 30 bulan penjara dan tiga sebatan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum pada 29 September 2023.

“Hukuman yang dikenakan keatas tertuduh setimpal kerana ia membabitkan kepentingan awam yang lebih tinggi daripada kepentingan individu tertuduh iaitu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang najis dadah,”katanya.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chrissie Ngiron Mijun manakala tertuduh diwakili peguam bela yang dilantik.
Next Post Previous Post