Mujur Dr Annuar ada, penumpang pesawat diserang sesak nafas
KUCHING-- Tindakan pantas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berjaya menyelamatkan seorang penumpang wanita yang diserang sesak nafas semasa penerbangan Kuching ke Kuala Lumpur hari ini.
Dr Annuar dalam hantaran Facebooknya berkata, semasa beliau menaiki pesawat MH2521 hari ini, berlaku satu peristiwa mencemaskan.
"Tiba-tiba ada pengumuman daripada pamugari yang bertanyakan jika terdapat pengamal perubatan atau doktor dalam kalangan penumpang dalam penerbangan tersebut kerana mereka sangat memerlukan bantuan segera.
"Susulan itu, saya tampil membantu dan pamugari bertanyakan kepada saya sama ada mempunyai kad pengenalan diri yang mengesahkan saya adalah seorang doktor tetapi saya tidak mempunyai kad pengenalan diri seperti yang diminta.
"Namun saya menunjukkan kad kredit saya yang tertera nama saya Dr Annuar Rapaee sebelum dia memaklumkan ada penumpang mengalami kesukaran untuk bernafas," katanya.
Tambahnya, penumpang wanita berkenaan mempunyai sakit asma yang memerlukan inhaler atau nebuliser.
"Nasib baik ada seorang penumpang membawa inhaler. Selepas berapa kali 'puff' pesakit masih sesak nafas.
"Namun alhamdulillah pesawat tersebut ada mempunyai kit kecemasan yang lengkap dengan nebuliser.
"Selepas nebuliser pesakit tersebut tiada sesak nafas lagi dan merasa lega," ujarnya.
Katanya lagi, selepas kejadian itu, beliau juga membuat laporan perubatan yang diperlukan.
Difahamkan juga pesawat berkenaan selamat tiba di Kuala Lumpur.