MPKS didakwa mungkir janji, Pusat Penjaja Baharu Tambirat diberi kepada "orang luar"
ASAJAYA-- Kampung Tambirat sememangnya sinonim dengan "lubok barangan segar" yang dijual oleh penduduk kampung itu sendiri di tepi jalan utama di kampung berkenaan sejak puluhan tahun lagi.
Namun, menerusi perancangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), gerai-gerai penjaja di kampung berkenaan dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih selamat iaitu berdekatan tapak regata Tambirat.
Dalam perancangan MPKS itu, penjaja yang majoriti penduduk Kampung Tambirat akan diberi keutamaan untuk ditempatkan di pusat penjaja baharu tersebut.
Bagaimanapun, difahamkan tidak semua "penjaja asal" disenarai dalam senarai tersebut yang dipanggil untuk cabutan tapak gerai pada Selasa ini.
Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Aida Fashla dalam hantarannya mendakwa MPKS mungkir janji kepada penjaja lama Tambirat.
"Lebih 12 tahun ibu berjual di tepi jalan di Kampung Tambirat sebelum mereka diminta untuk berpindah ke tapak sementara di perkarangan Surau Tambirat.
"Janji (MPKS) untuk mengutamakan nama-nama yang ada dalam senarai lama yang majoriti penjaja asal yang berjual di tepi-tepi jalan di kampung ini yang telah diroboh gerai mereka beberapa tahun lalu dan ditempatkan di tapak sementara.
"Namun, apabila senarai baharu dikeluarkan, hanya segelintir penjaja asal Kampung Tambirat terpilih untuk hadir ke majlis cabutan tapak gerai bagi Pusat Penjaja MPKS Tambirat baharu itu," katanya dengan kesal terhadap MPKS.
Malah, lebih menyedihkan katanya "orang luar" pula yang dapat tapal gerai di pusat penjaja baharu tersebut.
"Tapak untuk gerai sayur-sayuran di pusat penaja baharu itu ada 10 gerai yang mana hanya seorang sahaja dari Kampung Tambirat yang dapat dan selebihnya 'orang luar'," tambahnya.
Tegasnya, dua menyuarakan ketidakadilan itu bukan untuk ibunya sahaja tetapi untuk penaja lama yang juga menerima nasib yang sama.
Justeru, dia berharap pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian segera berhubung nasib yang menimpa penjaja asal di situ.