Lelaki maut, kereta terjunam ke bawah jambatan
LIMBANG—Seorang lelaki tempatan maut manakala rakannya dari Brunei parah selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke bawah jambatan sedalam empat meter di Jalan Sagan, Mendamit petang semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, dalam nahas yang berlaku pada jam 4.45 itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Para Jack, 51 berasal dari Kampung Merajang Lubai, manakala rakannya berusia 56 tahun dari Temburong, Brunei cedera parah di bahagian tulang belakang.
“Siasatan awal mendapati kenderaan bernombor pendaftaran Brunei itu dipercayai dari Kampung Staie, Mendamit selepas melawat keluarga dan dalam perjalanan balik ke arah bandar Limbang.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kenderaan dipercayai telah hilang kawalan memandu lalu terbabas dan terhumban ke bawah jambatan yang dianggarkan setinggi lebih kurang empat meter,” katanya dalam kenyataan.
Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala rakannya dibawa ke Hospital Limbang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Gambar PGO Sarawak