Kerja pembangunan Projek Loji Kuasa Turbin Gas Miri bermula
Kerja tanah Projek Loji Kuasa Turbin Gas atau Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Lot 834, Jalan Pantai Lutong |
MIRI— Kerja tanah Projek Loji Kuasa Turbin Gas atau Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Lot 834, Jalan Pantai Lutong bermula awal bulan ini.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii yang juga ADUN Pujut berkata, ia meliputi tinjauan dan pembersihan tapak, sebelum pembinaan bermula tahun depan.
“Majlis Bandaraya Miri telah meluluskan tiga perkara iaitu mobilisasi jentera berat, pemasangan papan tanda projek pembinaan dan pemasangan papan tanda amaran lalu lintas sementara.
“Kerja tanah ini dijangka mengambil masa 11 bulan untuk siap, sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta bekerjasama dan mematuhi langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, projek ini dibangunkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) melibatkan pelaburan RM2 bilion dengan tenaga 400 megawatt (MW).
Ia dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Miri pada Februari tahun ini.
Loji kuasa turbin itu kelak bakal menjana sumber tenaga berdasarkan gas asli pada kadar yang berpatutan, boleh dipercayai dan lebih bersih untuk bandar raya ini.
Miri telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada empat hab gas yang akan menyediakan akses bekalan gas yang berpatutan, boleh dipercayai dan tenaga bersih ke seluruh negeri di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).