Kapal tongkang 50 tan musnah terbakar
SIBU: Orang ramai di sini dikejutkan dengan kebakaran yang melibatkan kapal tongkang 50 tan yang terbakar di perairan Pulau Selalo Sungai Rejang awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, sepasukan anggota dari BBP Sibu bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 pagi bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.
Menurutnya, sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan sebuah kapal tongkang bertingkat sepanjang 50 meter tanpa muatan yang berada di tengah sungai.
"Maklumat awal yang diterima mendapati kapal terbabit musnah 100 peratus dalam kebakaran yang berlaku," ujarnya.
Anggota bomba telah kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan hos 200 kaki 2 nozel serta pam angkut dan sumber air yang diperoleh dari sungai.
Pasukan bomba ujarnya mengambil masa satu jam setengah bagi memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi.
Selepas api berjaya dipadam sepenuhnya, maka operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 9.55 pagi sebelum bertolak semula balik ke balai