Jambatan bailey Sungai Tutoh dijadual siap 2024
BARAM— Projek pembinaan jambatan bailey di Sungai Tutoh yang mengalami kelewatan sebelum ini, dijadual siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2024.
Sumber memberitahu, syarikat Samling selaku kontraktor projek diberikan kontrak selama 12 bulan untuk menyiapkan jambatan tersebut.
“Kerja pembinaan bermula sejak 18 Julai lalu dan kerja-kerja berkaitan sedang berjalan lancar.
“Namun paras Sungai Tutoh yang deras dan banjir di tapak pembinaan menyebabkan kerja-kerja berjalan perlahan,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Projek pembinaan jambatan tersebut bagi menggantikan jambatan lama yang dihanyutkan banjir pada 2021.
Projek yang diumumkan dan diluluskan pada 2022 dan siap penghujung tahun yang sama, namun mengalami kelewatan berikutan masalah kontraktor yang dihadapi sebelum ini.
Ketiadaan jambatan itu menyebabkan penduduk dari Lawas terpaksa bergadai nyawa meredah arus deras Sungai Tutoh Baram demi meneruskan perjalanan balak ke Miri ekoran ketiadaan jalan raya menghubungkan daerah itu ke Miri.
Apabila siap nanti, ia akan memanfaatkan lebih 4,000 penduduk dari sekitar 20 kampung dan rumah panjang di kawasan Telang Usan, Mulu dan Batu Danau.
Projek yang dibiayai oleh kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM12 juta itu merupakan sebahagian daripada projek akhir dalam pembinaan jalan Miri-Limbang namun kerajaan negeri memberi keutamaan untuk ia disiapkan terlebih dahulu.