Isu perumahan BSG: Sepatutnya 2019-2020 sudah terima kunci tetapi masih menunggu hingga hari ini
KUCHING-- Pembeli perumahan teres 1 tingkat B23/Fasa 5 Borneo Samariang Garden (BSG) membantah sekeras-kerasnya atas sebarang bentuk penundaan penyerahan selepas September 2023 oleh pemaju, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd (SBLSB).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan Teres 1 Tingkat B23/Fasa 5 (JBPF5) BSG, Mohd Zulfika Abdolkader berkata, kelewatan penyerahan projek perumahan BSG oleh pemaju telah menyebabkan pelbagai masalah, khususnya kepada pembeli, akibat dari keperluan untuk setiap pembeli membayar ansuran bulanan yang tinggi iaitu RM800 hingga RM1800 sebulan.
Tambahnya, rata-rata pembeli merupakan golongan yang berumur 26 sehingga 45 tahun, dan merupakan pembeli rumah pertama.
"Pembeli kini terpaksa membayar ansuran bulanan beserta kadar sewa rumah yang tinggi terutamanya di kawasan-kawasan di sekitar Kuching dan Samarahan yang kini hampir mencecah RM2500 sebulan.
"Pembeli perumahan ini sepatutnya menerima unit yang dibeli pada tahun 2019 sehingga 2020, tetapi masih menunggu sehingga ke hari ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Mohd Zulfika berkata,
JBPF5 menggesa pemaju SBLSB untuk segera memenuhi syarat piawaian yang telah ditetapkan sesuai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemberian Permit Menduduki (OP) oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Tambahnya, SBLSB juga diminta agar tidak mengambil mudah dan sewajarnya menumpukan komitmen untuk memenuhi kesemua syarat-syarat piawaian itu.
"Hal ini kerana ia adalah tanggungjawab pemaju sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian jual beli (SPA).
"Projek perumahan ini telahpun menerima Certificate of Practical Completion (CPC) sejak Jun 2023 yang lalu, tetapi permohonan OP masih belum dapat dibuat akibat kegagalan SBLSB untuk memenuhi syarat-syarat piawaian DBKU," jelasnya.
Tegas beliau lagi, JBPF5 amat bimbang akan keupayaan pemaju untuk memenuhi janji yang telah dibuat untuk menyerahkan kesemua 154 unit rumah kepada kesemua pembeli terlibat pada bulan September 2023, sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) pada sidang DUN Sarawak, 1 Disember 2022.
"Justeru, kami ingin merayu kepada kerajaan Sarawak untuk menggesa pemaju untuk segera mematuhi kesemua syarat-syarat piawaian yang telah ditetapkan oleh DBKU.
"JBPFS tidak mahu pemaju mengambil sikap sambil lewa dan tidak serius untuk menyiapkan projek perumahan oleh pemaju ini sekalipun projek ini berada di tahap akhir.
"JBPFS menolak sekeras-kerasnya dan tidak akan bersetuju atas sebarang bentuk penundaan penyerahan selepas bulan September 2023 oleh pemaju.
"Perlu diketahui bahawa sebahagian besar daripada pembeli adalah penjawat awam dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang datang daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
"Ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, terdapat sebilangan daripada pembeli bakal berdepan dengan tindakan muflis kerana tidak lagi berupaya membayar komitmen bulanan ini," ujarnya.