Honda EX-5 hilang di Selangor 12 tahun lalu baharu kini dijumpa di Kuching
KUCHING: Sebuah motosikal daripada 20 kenderaan yang dirampas dalam Op Lejang (Jenayah Curi Kenderaan) Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching didapati pernah dilaporkan hilang Selayang, Selangor 12 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, ekoran itu IPD Kuching menjalinlan kerjasama dengan IPD Gombak untuk menjalankan siasatan lanjut bagai mengenal pasti bagaimana motosikal Honda EX-5 itu berada di Sarawak.
Jelasnya, dalam siasatan tersebut juga akan meneliti kemungkinan nombor pendaftaran dan casis motosikal berkenaan diklon.
"Siasatan akan melibatkan pelbagai sudut, bagaimana motosikal yang dilaporkan hilang di Selayang pada 2011 boleh berada di Kuching," katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.
Mengenai operasi itu, Ahsmon berkata rampasan itu dibuat menerusi Op Lejang IPD Kuching yang dilancarkan sejak 4 Ogos hingga 4 September lalu
melibatkan 17 pegawai kanan dan 167 anggota.
"Selain rampasan, polis turut menahan 21 lelaki berusia antara 17 hingga 57 tahun sepanjang operasi ini," katanya.
"Operasi ini berjaya menurunkan sebanyak 25 peratus atau lapan kes kecurian kenderaan di daerah Kuching jika dibandingkan tempoh sama pada bulan Julai 2023," katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Ahsmon, setakat ini seramai sembilan suspek telah pun didakwa dengan hukuman penjara minimum 6 bulan dan paling tinggi 9 bulan.
Jelas beliau, operasi itu akan terus dimaksimumkan bagi memburu penjenayah curi kenderaan.
Beliau memberitahu berdasarkan kajian IPD Kuching mendapati purata kes adalah sebanyak 1 kes sehari.
"Tiga lokasi utama yang menjadi sasaran ialah kawasan tempat letak kenderaan awam, tempat bebas dan kediaman orang awam.
"Kecurian kenderaan turut dikesan sering berlaku pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad," dedahnya.
Katanya, penjenayah juga menyasarkan mencuri kenderaan sekitar jam 6.01 petang hingga 11.59 malam, 6.01 pagi 12.00 tengah hari dan 12.01 pagi hingga 5.59 pagi.
Selain itu, jelasnya, penjenayah turut menyasarkan kenderaan yang tiada kunci tambahan.
Pada masa sama katanya pencuri juga menyasarkan kenderaan yang mempunyai sistem penggera kenderaan yang tidak aktif atau sistem lama yang mudah dipintas.
"Penjenayah juga menyasarkan kenderaan yang diletakkan diluar liputan kamera litar tertutup (CCTV)," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran berkaitan aktiviti melibatkan kecurian kenderaan.