Hampir 100 peratus kawasan penanaman sawit di Sarawak patuhi piawaian ketat MSPO
KUCHING-- Hampir 100 peratus kawasan penanaman kelapa sawit di Sarawak telah diperakui di bawah piawaian ketat Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegas beliau, ini mencerminkan komitmen terhadap amalan yang bertanggungjawab dan mampan terhadap sektor kelapa sawit di negeri ini.
"Maka itu Kerajaan Sarawak mengekalkan larangan terhadap pembangunan baharu di ladang kelapa sawit berskala besar di rantau ini, kecuali tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di mana pembangunan sedemikian dibenarkan," katanya pada sidang media pada Palm And Lauric Oils Price Outlook Conference And Exhibition 2023 di sini, pada Selasa.
Tambah Abang Johari walaupun industri minyak sawit di Sarawak telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini, ia menghadapi beberapa cabaran yang memerlukan perhatian dan tindakan.
Namun, katanya, dengan mengamalkan amalan mampan, memelihara biodiversiti, perlindungan sosial dan memupuk ketelusan, industri bukan sahaja dapat mengatasi halangan tersebut tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain yang bertanggungjawab dan penting dalam pasaran global.
Beliau berkata, adalah penting untuk mengiktiraf komitmen rantau ini terhadap kelestarian alam sekitar dan memerangi perubahan iklim.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) agar menyertai industri minyak sawit di negeri ini.
“Pada masa ini, seperti yang anda sedia maklum, kami telah merancang penggunaan tanah di Sarawak dan saya fikir, kita telah maksimumkan kawasan tanah hanya untuk industri minyak sawit.
“Kami membenarkan pekebun kecil khususnya pemilik tanah NCR untuk menyertai industri minyak sawit ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Sarawak memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah melalui ekonomi negara.
Jelasnya, untuk mencapai hala tuju Sarawak ke arah ekonomi hijau, industri berkenaan perlu melaraskan keperluan memulihara persekitaran, dalam masa sama mengendalikan penanaman kelapa sawit menggunakan teknologi.
Mengenai pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) di Sarawak, Abang Johari berkata ia merekodkan peningkatan ketara pada 2022 iaitu sebanyak empat juta tan metrik atau 2.50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Menjelang 2023, prospek kekal teguh, dengan pengeluaran CPO dari Januari hingga Jun 2023 mencecah 1.7 juta tan metrik iaitu peningkatan 2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022," dedahnya.