Guna jalan balak atau sungai, Jambatan Sungai Musah ambil masa diperbaiki

KAPIT— Jambatan Sungai Musah yang runtuh dan mengalami keretakan sejak Khamis lalu mengambil masa sangat panjang untuk diperbaiki.

Tinjauan mendapati, struktur tiang jambatan menjunam disebabkan pergerakan tanah selain terdapat bahagian jambatan patah dan mengalami keretakan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak sudah diarahkan bagi mengenalpasti punca kerosakan tersebut dan mencari langkah yang sesuai dan tepat untuk membaiki jambatan tersebut.

“Kita mahu penyelesaian bagi jangka masa panjang dan JKR akan mengenalpasti punca kerosakan.

“Jalan tersebut merupakan jalan Negeri dan merupakan bidang kuasa JKR Negeri Sarawak dan saya sebagai Ahli Parlimen Kapit untuk menyelesaikanya.

“Justeru tidak adil untuk kita membuat sebarang andaian sebelum laporan daripada mereka yang pakar mengenai masalah ini,” katanya selepas meninjau Jambatan Sungai Musah pada Jumaat.

Nanta memberi jaminan kementerian akan membantu dan memberi tumpuan lebih kepada masalah ini,

Sementara itu, Nanta berkata laluan alternatif dan jambatan sementara akan dibuat dalam tempoh sebulan ini bagi memastikan urusan harian penduduk tidak terputus hubungan.

“Sementara waktu, pengguna boleh menggunakan jalan balak atau jalan sungai. 

“Saya berharap penduduk yang terjejas dapat bersabar menunggu jalan alternatif dan jambatan sementara siap dibuat,” katanya.

Jambatan yang runtuh kira-kira jam 9.30 malam Khamis itu menjejaskan ratusan pengguna termasuk guru sekolah dan kakitangan klinik ke Banjor sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perahu.


Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post