Geng curi kabel naik BMW tumpas


Keadaan kereta jenis BMW yang terbabas dan melanggar tembok bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Jasin—Empat suspek curi kabel termasuk seorang wanita diberkas selepas salah sebuah kereta dinaiki terbabas lalu merempuh bangunan ketika cuba melarikan diri di Serkam, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, semua suspek berusia 23 tahun hingga 33 tahun itu ditahan dalam rondaan cegah jenayah sepasukan polis dari dari Balai Polis Merlimau kira-kira 5.30 pagi.

Beliau berkata, semasa rondaan polis mendapati kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) di Merlimau dipotong di tepi jalan.

“Polis kemudian membuat pemantauan di lokasi kejadian dan terserempak dua kereta termasuk BMW dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan peronda kemudian mengejar dua kenderaan itu sebelum BMW terbabas merempuh tembok bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Polis berjaya menahan dua suspek di dalam kereta tersebut yang datang dari Kajang, Selangor. Hasil soal siasat telah membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang menaiki kereta berasingan jenis Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semakan mendapati semua suspek turut memiliki rekod lampau jenayah serta dadah dan direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Sementara itu TM Tech mengesahkan talian bawah tanah bersaiz 400 pair sepanjang kira-kira 175 meter mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian RM30,000.
Next Post Previous Post