Dua bot nelayan langgar syarat lesen ditahan
KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak bertindak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan dua batu nautika utara daratan Asajaya kerana disyaki melakukan aktiviti menunda dan dipercayai menggunakan peralatan yang tidak disyaratkan di dalam buku lesen semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dalam kenyataannya hari ini berkata, semasa kejadian, bot maritim sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Kuching sebelum mengesan bot terbabit sedang sedang leka menangkap ikan di perairan berkenaan.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati tiga kru termasuk tekong warga tempatan berumur lingkungan 33 hingga 64 tahun berada di bot berkenaan yang mana kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, dalam kejadian berasingan, pihak maritim negeri Sarawak turut menahan sebuah lagi bot nelayan tempatan kelas A pada kedudukan 1 batu nautika barat laut Tanjung Po kerana melakukan aktiviti yang sama pada 8 September lalu.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati seramai tiga orang kru termasuk tekong warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 16 hingga 43 tahun berada dalam bot terbabit dan kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kedua-dua bot dan kru ditahan ujarnya disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen.
Bot dan hasil tangkapan ditahan serta dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut.
Ekoran tangkapan dijalankan, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.
Sebarang kemalangan ataupun kecemasan di laut boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Gambar APMM Sarawak