Dua beradik ditemukan rentung
KOTA KINABALU— Dua beradik ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa dikenalpasti Jayraiyen Jabri, 5 dan abangnya Jackron, 6 ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.
Katanya, seramai 35 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi sejurus mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 1 tengah hari.
“Kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Terdapat dua kanak-kanak ditemui rentung di lokasi kebakaran. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BuletinTv3.
Beliau menambah, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air jentera.
Kebakaran dapat dikawal jam 2.53 petang. Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.