81 pembeli perumahan Grand Height alami nasib sama
BINTULU-- Belum reda isu kelewatan projek perumahan di Borneo Samariang Garden (BSG), seramai 81 pembeli perumahan Grand Height, Bintulu berdepan masalah yang sama yang mana projek perumahan mereka sepatutnya siap 2019 masih lagi terbengkalai hingga kini.
Wakil Pembeli Grand Height Jeremy Suyong, 28 tahun, berkata, pihak pemaju, Tiara Seni Sdn Bhd memberi alasan kelewatan siap projek berkenaan disebabkan tanah keras, speksifikasi BDA banyak untuk memenuhi syarat Permit Menduduki (OP) selain kurang pekerja.
"Sudah lapan tahun hingga kini belum siap-siap, pemaju sering guna alasan siap tahun semasa sejak 2019 tetapi sekarang sudah 2023.
"Sepanjang tempoh itu perkembangan projek memang perlahan dan masalah ini telah diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang.
"Selepas aduan dibuat kepada wakil rakyat, ada sedikit perubahan ke atas perkembangan projek perumahan ini," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Jelasnya, seramai 81 pembeli daripada 120 unit rumah di Lot 6256 & 6258 Kemena Land District, Jalan Sibiyu, Bintulu terjejas akibat kelewatan projek berkenaan yang kebanyakan pembeli rumah pertama.
"Kami (pembeli) menggesa pemaju untuk menyiapkan projek seperti dijanjikan sebelum akhir tahun 2023.
"Ramai pembeli terkesan, malah ada yang mengimpikan rumah pertama namun setelah berpencen pun masih belum mendapat kunci," tegas Jeremy.
Sehubungan itu, beliau mewakili pembeli perumahan terbabit memohon dan menggesa pihak pemaju menyiapkan projek tersebut seperti mana yang dijanjikan agar masalah berkenaan tidak berlarutan terlalu lama.
"Kita juga mohon kerajaan menyenarai hitam pemaju yang gagal menyiapkan projek pada masa yang ditetapkan.
"Selain itu, kerajaan juga perlu mengubal Ordinan Perumahan semasa untuk melindungi pembeli," ujarnya.