38 unit ART berkuasa hidrogen akan ditempah selepas ujian kejuruteraan, POC- Abang Johari
KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menempah 38 unit lagi Kenderaan Hidrogen (H2V) Autonomous Rapid Transit (ART) selepas selesai ujian kejuruteraan dan Bukti Konsep (POC) unit prototaip ART dijalankan.
Katanya, 38 unit ART itu akan beroperasi di Kuching dan Kota Samarahan.
"Kenderaan berkuasa hidrogen itu kelak akan beroperasi di tiga laluan iaitu Laluan Merah, Biru dan Hijau yang menghubungkan Kuching dan Kota Samarahan," katanya pada sidang media selepas meluncurkan ujian kejuruteraan dan POC Peringkat 2 Unit Prototaip ART yang dikenali sebagai 'Bulan' di Menara SEDC No.2 di The Isthmus di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kesemua 38 unit H2V itu dijangka tiba pada penghujung 2025 di mana ia beroperasi secara komersial sepenuhnya.
Jelas beliau lagi, kemudahan pengangkutan awam mesra alam itu kelak sudah pastinya memberi manfaat kepada penduduk di Kuching dan Kota Samarahan dalam menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih selesa dan mampu dinaiki.
"Sudah pasti ia akan digunakan oleh orang awam, kedua penduduk atau pengguna berpendapatan rendah akan dapat menggunakan pengangkutan awam yang selesa pada kadar mampu milik dan ketiga pelancong.
"Maknanya, mereka boleh pergi ke destinasi menggunakan ART melalui stesen-stesen tertentu. Contohnya, pelancong boleh pergi ke Damai dari Kuching menggunakan ART," katanya lagi.
Terdahulu, dalam majlis pelancaran kejuruteraan dan POC Peringkat 2 Unit Prototaip ART itu, Abang Johari merasai sendiri menaiki kenderaan itu yang melalui laluan di Jalan Keruing melalui Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam mesra alam itu, tambang yang dikenakan adalah konsisten.
"Untuk memastikan keselesaan penumpang, pembayaran tambang boleh dilakukan menggunakan aplikasi SPayGlobal dan pada peringkat awal tambang khas dikenakan.
"Pengguna juga boleh menggunakan kenderaan sendiri ke stesen-stesen berdekatan untuk menaiki ART dan ini secara tidak langsung akan mengurangkan kesesakan jalan raya," ujarnya.
Selain itu, Abang Johari turut memberi jaminan tambang yang akan dikenakan bagi menggunakan perkhidmatan ART tidak akan membebankan rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sarawak akan menggunakan model sendiri membangun dan menguruskan sistem pengangkutan ART itu bagi memastikan ia sesuai serta selesa mengikut keperluan tempatan.
"Seperti saya katanya tadi, kita turut menyediakan perkhidmatan bas pengantara iaitu bas hidrogen bagi memudahkan orang ramai pergi dan balik dari stesen-stesen ART," katanya.
Ujian kejuruteraan prototaip kenderaan berkuasa hidrogen itu diadakan selama dua bulan dari September hingga Oktober dan laluannya adalah di sepanjang Jalan Keruing melintasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan BCCK.