Tikam teman wanita minta putus hubungan
KUALA LUMPUR--Baru tiga bulan berkenalan melalui aplikasi OMI, seorang wanita parah ditikam kekasih di bahagian perut gara-gara mahu putuskan hubungan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.52 pagi di tempat letak kenderaan di Bukit Antarabangsa, Ampang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada dalam kenderaannya sebelum didatangi suspek.
"Suspek telah bertindak memancitkan tayar kereta mangsa selain memecahkan cermin hadapan kereta tersebut.
"Mangsa yang ketakutan, cuba melarikan diri tetapi suspek terus mengejar dan menikamnya dengan senjata tajam," katanya dalam kenyataan, hari ini dipetik Berita Harian.
Menurut Mohd Azam, mangsa yang cedera di bahagian tengah dan kiri perut selain luka lengan kiri dikejarkan ke Hospital Ampang dengan ambulans untuk rawatan.
Katanya, siasatan turut mendapati suspek bertindak demikian kerana berang mangsa mahu memutuskan hubungan dengannya.
Tambahnya, mangsa dan suspek baru sahaja berkenalan selama tiga bulan melalui aplikasi OMI (aplikasi jaringan sosial mencari kenalan dan pasangan)," katanya.
"Identiti suspek sudah dikenal pasti dan sedang mengesan untuk menahannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata."