Sarawak pertimbang e-residensi mudahkan pelabur dan profesional luar

KOTA SAMARAHAN— Kerajaan Sarawak mempertimbang melaksanakan sistem e-residensi kepada pelabur dan profesional asing bagi memudahkan mereka memasuki negeri ini selain menguruskan pelaburan dari negara asal.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, konsepnya seperti permastautin tetap namun mereka tidak semestinya menetap di Sarawak.

Beliau berkata, pada masa kini pelabur asing ke negeri ini diberi permit kerja selama lima tahun.

“E-residensi ini membolehkan mereka berada di tempat sendiri dan pada masa yang sama menguruskan operasi mereka di sini dari negara asal, dan kita akan memberi mereka pas khas untuk mereka keluar masuk Sarawak.”

“Saya telah menghantar delegasi ke Estonia memandangkan mereka sudah melaksanakan kaedah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, pada Jumaat.

Beliau menambah, cadangan itu akan diusulkan ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diluluskan.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan industri dan kedutaan negara terlibat untuk menyaring pemohon program itu,” katanya.

Terdahulu beliau dalam ucapannya berkata Sarawak menekankan tiga bidang kemahiran utama dalam mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Katanya, kerajaan memerlukan generasi muda yang berkemahiran tinggi dalam bidang penganalisis data, pakar keselamatan siber dan kemahiran robotik.

Menurutnya, penganalisis data amat diperlukan buat masa kini bagi mendapatkan semula semua maklumat sebelum ini untuk mencipta produk baharu.

"Manakala pakar keselamatan siber membolehkan data negeri kita dilindungi daripada penggodam ataupun bocor ke tangan orang salah.

"Kemahiran robotik turut diperlukan bagi mentafsir data yang telah dianalisis sebelum dikeluarkan untuk menjadi satu produk yang baharu," katanya.

TAHODC akan menjadi pusat operasi Pusat Pembangunan dan Khidmat Teknologi Maklumat (CITDS) yang merupakan tunjang utama dalam menyediakan perkhidmatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) selaras dengan agenda ekonomi digital di Sarawak.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, penekanan kepada tiga bidang tersebut memperlihatkan usaha kerajaan menyediakan peluang ekonomi baharu kepada rakyat negeri ini.

"Menerusi  Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 45,000 peluang pekerjaan untuk generasi muda di negeri ini," ujarnya.


Sumber dan gambar UKAS
Next Post Previous Post