Tegur anak merokok di sekolah, ayah datang lastik biji mata guru sampai buta
BENGKULU— Berang dengan tindakan seorang guru menegur anaknya kerana merokok di sekolah menyebabkan seorang ayah bertindak melastik mangsa sehingga buta.
Menurut laporan Detik, kejadian itu berlaku di SMA Negeri 7 Rejang Lebong, Bengkulu Indonesia pada Isnin lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Arpanjaya, 45, selepas itu menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa selama empat hari, sebelum menyerahkan diri ke Balai Polis Rejang Lebong pada Sabtu (5 Ogos).
Pegawai Polis Rejang Lebong Kompol Yusiady berkata, Arpanjaya menyerahkan diri setelah pihak polis berjumpa dengan ahli keluarganya.
Media tempatan melaporkan, mangsa, dikenali sebagai Zaharman, 58, merupakan guru sukan tempat anak suspek bersekolah.
“Mangsa dilaporkan menegur dan mengambil tindakan ke atas pelajar yang merokok.
“Pelajar itu kemudian pulang ke rumah dan mengadu kepada ibu bapanya kononnya dia telah dipukul oleh guru tersebut. Berang dengan aduan itu, kedua-duanya pergi ke sekolah dengan membawa lastik dan sebilah pisau,” kata laporan itu.
Tindakan mereka cuba dihalang oleh pengawal keselamatan namun kedua-duanya berjaya masuk dan menemui Zaharman sebelum melastik mangsa sehingga terkena pada bahagian mata kanan.
Suspek dan isterinya kemudian melarikan diri selepas melihat mata mangsa berdarah akibat terkena batu lastik.
Anak Zaharman, dikenali sebagai Ilham Mubdi memberitahu media bapanya sudah disahkan buta oleh Rumah Sakit AR Bunda Lubuklinggau, Sumatera Selatan.
“Kami mahu hukuman keras dijatuhkan kepada pelaku kerana menyebabkan bapa kami sebagai orang kurang upaya secara tiba-tiba,” katanya.