Sulong terajui Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak-Abang Johari
KUCHING-- Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjaraie mengetuai sembilan Ahli Lembaga Penjaga bagi Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.
Pengumuman sembilan ahli lembaga itu dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini yang memaklumkan Lembaga Penjaga bagi Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak berkenaan diketuai Sulong yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selain Sulong yang dilantik sebagai pengerusi lembaga penjaga dana berkenaan, lapan lagi individu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak adalah Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Datuk Iain John Lo, Grainne Dooley, Mohsen Fahmi, Datu Soerdiman Aini, Dato Sri Talat Mahmood Abd Rashid dan Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Abang Johari dalam sidang media itu berkata, beliau percaya pengalaman yang pelbagai dan luas serta kelayakan daripada profesional terbilang itu akan menjadi sangat berharga dan berfaedah besar kepada dana berkenaan untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai objektifnya.
“Selepas pelantikan kesemua ahli lembaga penjaga bagi dana ini dimuktamadkan, kita menyasarkan dana ini untuk dimulakan pada (awal tahun) 2024 setelah semua rangka kerja struktur dan tadbir urus dilakukan,” jelasnya.
Mengenai dana itu, beliau memberitahu, ordinan penubuhan dana berkenaan telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 November tahun lalu bagi menjadi penjaga dana negeri yang dikenali sebagai Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.
Tujuan dana berkenaan katanya untuk melindungi dan melaburkan wang dalam dana untuk pertumbuhan yang mampan dan pulangan maksimum demi kepentingan negeri dan generasi masa depan Sarawak.
Malah, katanya, dana itu juga akan menerapkan amalan terbaik antarabangsa yang termasuk Prinsip dan Amalan Perakaunan yang Diterima Umum (GAPP) untuk Dana Kekayaan Negara, lebih dikenali sebagai Prinsip Santiaga yang juga diterima pakai oleh kebanyakkan dana kekayaan negara di dunia.