Sindiket tipu tawaran kerja sambilan tumpas, lima diberkas
KUCHING-- Lima individu termasuk seorang wanita dicekup disyaki terlibat dalam kes tipu tawaran kerja sambilan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kelima-lima suspek berusia 20-an ditangkap pada 7 Ogos lalu sekitar jam 10 malam dalam serbuan di dua unit kondominium di bandar raya ini.
Jelasnya, serbuan dijalankan oleh unit risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
"Hasil pemeriksaan lanjut juga telah menjumpai 45 keping kad ATM pelbagai akaun bank, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kenderaan, tiga set komputer, serta dua set modem dan router wifi," katanya pada sidang media hari ini.
Jelas Mancha hasil siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan dengan menjalankan kegiatan pengawalan akaun bank dan membuat pemindahan wang dari akaun bank mangsa penipuan kerja sambilan di youtube "like and share" ke akaun bank yang ditetapkan dalam satu group Telegram.
"Golongan sasaran adalah daripada mangsa tempatan dan negara Indonesia.
"Sindiket ini dipercayai mula aktif beroperasi sejak bulan Jun 2023," dedahnya lagi.
Tegasnya, kelima-lima suspek telah direman empat hari mulai 8 Ogos 2023 sehingga 12 Ogos 2023.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.
"Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya," ujarnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah tertarik dan terpedaya dengan sesuatu tawaran kerja melalui media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti komisyen dan pulangan duit yang tinggi, bayaran kerja lebih masa dan sebagainya
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali. beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda tentang panggilan telefon yang diterima.
"Selain itu, orang ramai turut disarankan agar membuat semakan terperinci sekiranya menerima apa-apa tawaran dari individu yang tidak dikenali terutamanya melalui Internet," tambahnya.