’Si Tanggang’ ugut bunuh ibu dengan gunting dijel
IPOH— Padah mengugut bunuh ibu sendiri, seorang lelaki dipenjarakan lapan bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini.
Majistret S Punitha menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, V Kumaran, 48 mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun sama.
Berdasarkan pertuduhan, Kumaran didakwa mengugut untuk membunuh ibu kandungnya yang berusia 73 tahun menggunakan gunting di sebuah rumah di Pesara Klebang Jaya 12, Taman Klebang Jaya, Chemor kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lalu, lapor Mstar Online.
Dia didakwa melakukan ugutan itu kerana tidak berpuas hati selepas ibunya enggan memberikan wang kerana hanya mempunyai RM50 untuk membeli barangan runcit.
Kumaran tetap mengambil wang itu dan memulangkan baki RM20 kepada ibunya, sebelum bertindak mengheret ibunya ke dalam bilik tidur dan menolaknya, menyebabkan wanita itu terjatuh ke lantai.
Tertuduh kemudian cuba mencekik mangsa sebelum mengambil gunting dan mengacukannya ke leher sambil mengancam untuk membunuh ibu dan dirinya sendiri.
Dia ditahan kira-kira pukul 3.20 petang keesokan harinya.
Terdahulu, peguam Siti Hajar Hamzah yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya menyayangi ibunya dan mengalami tekanan yang teruk.
“Anak guam saya belum berkahwin dan menjaga ibunya seorang diri. Dia seorang pekerja kontrak dan memperoleh pendapatan kira-kira RM60 sehari.
“Dia tertekan kerana tiada adik-beradiknya yang membantu menjaga ibu mereka. Oleh itu saya harap mahkamah akan mempertimbangkan hukuman yang minimum,” katanya.
Punitha memerintahkan Kumaran dipenjara empat bulan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah, dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua menyebabkan kecederaan.
Dia mengarahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin.