Sektor agrikomoditi diperkasa- Fadillah
KUALA LUMPUR—Penggunaan sistem automasi dan mekanisasi akan terus diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor agrikomoditi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerjasama melibatkan pihak industri akan terus diperkukuh."
Sudah nampak perubahan misal kata Sime Darby sekarang banyak menggunakan automasi dan mekanisasi dan malahan banyak pekerja-pekerja Malaysia sendiri sekarang bekerja dengan syarikat itu disebabkan kurang kepada buruh-buruh kasar, tapi lebih kepada pekerja separuh mahir."
Di sini yang menarik sebenarnya kalau kita dapat lihat kejayaan Sime Darby ini dapat digunakan kepada keseluruhan rantaian atau pun syarikat yang terlibat dalam sektor perladangan sudah pasti ia nya akan dapat membantu dan kurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing," katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia saluran TV1 RTM membicarakan mengenai “Memperkasa Komoditi Ekonomi Madani”
Sementara itu, Fadillah berkata usaha meningkatkan pengeluaran sektor agrikomoditi juga menjadi tumpuan, sekali gus akan meningkatkan eksport sektor itu selain menambah pendapatan pekebun kecil terlibat."
Kita boleh memfokuskan dari segi pertama sekali produktiviti, bila kita kata produktiviti, kita kena melihat dari keseluruhan rantaian pengeluaran hasil komoditi dari segi penanaman, input pertanian, proses atau mekanisme pertanian itu sendiri, bagaimana nak menanam, bagaimana nak hasil yang lebih, dan bagaimana proses penuaian, apakah teknologi baru yang digunakan dan bagaimana hasil hiliran yang kita nak tambahkan,"ujar Fadillah.
Sumber Berita RTM
Gambar Kementerian Perladangan dan Komoditi