Rumah Panjang Penom dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo

KUCHING-- Rumah Panjang Penom yang merupakan rumah panjang masyarakat Iban yang dibina daripada kayu belian pada 1926 yang dipimpin oleh Tuai Rumah Libau Penghulu Garan kini dihubungi dengan Lebuhraya Pan Borneo.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, rumah panjang yang sebelum ini mempunyai 16 pintu kini sudah menjadi 21 pintu itu, dibina antara dua bukit iaitu Bukit Sepindah dan Bukit Gelong Gundai.

"Rumah Panjang Penom sudah dihubungi dengan jalan raya Pan Borneo apabila jalan Ulu Paku dan Jalan Penom/UluBayor/Danau sedang giat dilaksanakan sekarang.

"Dengan adanya jalan baharu ini, penduduk di Penom menikmati lebih banyak peluang ekonomi seperti pertanian, aktiviti penjualan hasil tani, agropelancongan dan industri kotej serta kraf tangan," katanya di Facebooknya.

Tambah Uggah, kawasan Penom juga masih kaya dengan khazanah alam semula jadi yang semestikan boleh menjadi kawasan untuk aktiviti perdagangan karbon pada masa hadapan.

"Banyak pembangunan sudah dilaksanakan di sini seperti jalan, pakir kenderaan, tanju baru, skim tagang serta projek-projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya.

"Justeru, kita berharap generasi baharu haruslah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan Penom ini dapat terus dimajukan sekali gus menjadi rumah panjang contoh di kawasan ini," ujarnya
Next Post Previous Post