Rumah panjang didiami 4 sekeluarga diancam tanah runtuh, berpindah jika perlu
KANOWIT: Empat sekeluarga dari Rumah Jelai di Skim Penempatan Semula Nanga Tada berhadapan dengan detik cemas selepas berlaku runtuhan serta gelongsoran tanah pada bahagian belakang rumah panjang mereka awal pagi tadi.
Menurut penduduk, kesemua penghuni bangun dari tidur apabila terdengar bunyi bising dari belakang rumah panjang dan alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati berlaku runtuhan tanah pada bahagian dapur.
Jurucakap Pasukan Alpha BBP Kanowit berkata,sepasukan anggotanya bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan serta pemeriksaan sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11 pagi.
Tiba di lokasi kejadian ujarnya, komander operasi membuat 'size-up' dan mendapati berlakunya pergerakan tanah yang serius pada bahagian belakang rumah panjang terutama di bahagian dapur dan bilik air.
"Sebagai tindakan awal, pasukan bomba bertindak menjalankan pemantauan serta memasang sawar-sawar bagi mencegah berlakunya runtuhan yang lebih serius," ujar beliau.
Pasukan bomba dalam pada itu ujarnya menasihatkan pengguni agar sentiasa berwaspada serta berhati-hati agar tidak menghampiri kawasan runtuhan.
Pasukan bomba juga menasihati penduduk agar menghubungi talian kecemasan sekiranya masih ada berlaku kejadian tanah susur.
Setelah memastikan keadaan terkawal serta selamat pasukan bomba bertolak semula balik ke balai.
Gambar BBP Kanowit