Raghad kesal individu sebar, buat poster palsu dakwa Tun Taib meninggal
KUCHING-- Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib melahirkan rasa kecewa dan kesal atas tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar berita palsu berkaitan keadaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau dalam ciapan di Twitternya berkata, perbuatan individu terbabit yang menyebarkan poster yang mendakwa Tun Taib telah meninggal dunia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan.
Tegasnya, Tun Taib seorang pemimpin anak Sarawak yang menzahirkan seluruh hidupnya untuk rakyat dan negeri ini.
"Membuat berita palsu untuk berseronok atau mencemarkan nama baik adalah salah walaupun dalam agama lain.
"Apakah perasaan anda jika ada ahli keluarga anda diberitahu mati ketika masih lagi hidup dan bernyawa.
"Tolong hormati orang lain yang merupakan keluarga, ayah, suami dan datuk. Ingatlah bahawa apabila anda mengutuk orang lain, kutukan itu mungkin akan kembali kepada anda juga," tegasnya.
Dalam ciapan itu, Raghad turut berkongsi hadis dari Abu Darda' -raḍiyallāhu 'anhu- secara marfū', "Jika seorang hamba melaknat sesuatu, maka laknat itu akan naik ke langit, lalu tertutuplah pintu-pintu langit. Kemudian laknat itu akan turun lagi ke bumi, namun pintu-pintu bumi telah tertutup. Laknat itu kemudian bergerak ke kanan dan ke kiri, jika tidak mendapatkan tempat sasaran, dia akan menghampiri orang yang dilaknat, jika ia layak dilaknat. Namun jika tidak, maka laknat itu akan kembali kepada orang yang melaknat." Hadis sahih - Diriwayatkan oleh Abu Daud
"Sesungguhnya orang-orang yang suka melaknat tidak dapat memberi syafaat dan tidak dapat menjadi saksi di hari kiamat."
Hadis sahih - Diriwayatkan oleh Muslim
Juga, Rasulullah (saw) bersabda: "Tidak layak bagi seorang pencinta kebenaran yang ikhlas memaki hamun." Hadis sahih - Diriwayatkan oleh Muslim
“Dan beliau bersabda: “Seorang mukmin tidak boleh mengutuk.” [Sunan al-Tirmizi dengan riwayat yang sahih].
Sementara itu, Astro AWANI memohon maaf kepada keluarga Yang Dipertua Negeri Sarawak atas perkara ini dan menafikan penerbitan poster hitam putih tertera nama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
Jelas Astro AWANI, poster yang tertera logo Astro AWANI beserta kapsyen Al-Fatihah beserta tahun kelahiran Yang diPertua Negeri Sarawak itu adalah tidak benar.
Pihak Astro AWANI juga memohon maaf kepada keluarga Yang Dipertua Negeri Sarawak atas perkara ini.
Astro AWANI menyarankan agar orang ramai berwaspada dengan berita dan poster palsu itu yang menggunakan nama Astro AWANI berkenaan.