Prototiap "Bulan" jadi tumpuan pengguna di Kuching
KUCHING-- Prototaip Transit Aliran Automasi (ART) berkuasa hidrogen pertama Sarawak yang akan dinamakan ‘Bulan’ sempena lokomotif pertama negeri itu semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke di sini menjadi tumpuan orang ramai sejak ia siap dipasang dan mula 'dipamer' secara umum di kawasan Isthmus di sini.
Premier Sarawak Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberikan nama tersebut pada majlis perasmian bangunan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) baru-baru ini, dijangka akan melancarkan Ujian Kejuruteraan dan Bukti Latihan Konsep (POC) pada awal September ini.
Malah, beliau juga akan menaiki ART di laluan Ujian Kejuruteraan di Isthmus.
Susulan itu, prototaip ART tersebut kini menjalani ujian pemanduan di Kuching Isthmus, di sini, hari ini.
Ujian itu adalah bagi mengenal pasti sebarang masalah sebelum ART tiga gerabak berkuasa hidrogen itu menjalani Ujian Kejuruteraan selama dua bulan di Kuching pada 4 September ini dan kemudian akan dibawa untuk POC di Kota Samarahan pada November nanti.
Pada Isnin Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin memaklumkan prototaip ART berkenaan telah siap dipasang dan akan menjalani Ujian Kejuruteraan pada 4 September ini di kawasan Isthmus di sini.
katanya, Ujian Kejuruteraan itu melibatkan laluan Jalan Keruing, Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dijalankan dari 4 September hingga 31 Oktober 2023.
"Unit prototaip ART H2V telah tiba di Terminal Senari pada 5 Ogos 2023 dari Pelabuhan Shanghai.
"Prototaip ini telah dibangunkan oleh CRRC Zhuzhou Institute Co. Ltd dan telah dipasang sepenuhnya di Terminal Senari di sini dalam tempoh dua minggu.
"Susulan itu, Ujian Kejuruteraan untuk unit prototiap ART H2V akan bermula di Isthmus pada 4 September hingga 31 Oktober 2023," katanya.
Lee menambah berikutan Ujian Kejuruteraan itu, ia akan melibatkan penutupan jalan tertentu yang terlibat.
Jelasnya, tujuan Ujian Kejuruteraan adalah untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum bermulanya POC di Samarahan.
"Untuk persediaan bagi Ujian Kejuruteraan, kerja-kerja penutupan jalan akan dimulakan pada 23 Ogos 2023 untuk lencongan jalan.
"Notis dan papan tanda yang mencukupi akan diletakkan sebelum penutupan jalan," katanya.
Menurutnya lagi inisiatif ini bertujuan untuk memaklumkan penduduk dan pekerja yang bekerja di sekitar kawasan laluan yang terlibat menyesuaikan diri tentang rutin perjalanan harian mereka semasa tempoh dua bulan itu.
Kata Lee, prototaip ART H2V akan dipindahkan ke Kota Samarahan untuk POC selama sebulan di sepanjang Expressway Kuching-Samarahan pada bulan November.
"POC akan bermula di lorong khusus kekal sepanjang 3 kilometer yang dibina antara dua bulatan (bulatan berhampiran Pusat Jantung ke bulatan berhampiran SAINS).
"Latihan POC ini dijalankan untuk mengumpul data bagi menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir ART untuk menampung kapasiti maksimum penumpang," jelasnya.
Sepanjang tempoh berkenaan, Lee memberitahu prototiap ART tidak akan dibuka kepada orang awam.
Walau bagaimanapun, tegasnya, pihak berkepentingan terpilih daripada organisasi sektor awam dan swasta yang berkaitan akan dijemput untuk menaiki prototaip kenderaan hidrogen ART.
"Sebab utama kami tidak membuka kepada orang ramai untuk menaiki ART, adalah kerana ini masih merupakan kenderaan prototaip dan tujuan utamanya adalah untuk menguji prestasinya di Sarawak.