Prototaip ART Sarawak Tiba Di Pelabuhan Senari
KUCHING—Prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak selamat tiba di Pelabuhan Senari di sini pada Sabtu.
Prototaip ART yang dibawa dari negara China berkenaan tiba di sekitar perairan Kuching pada Jumaat dan berlabuh di Pelabuhan Senari pada jam 6 pagi.
ART yang dikuasakan dengan tenaga hidrogen itu bakal dilengkapi dengan tiga gerabak yang mana masing-masing boleh memuatkan seramai 300 penumpang pada satu masa.
Dalam pada itu, pihak media turut dimaklumkan bahawa ART tersebut perlu menjalani beberapa peringkat saringan sebelum dibawa ke Isthmus Kuching untuk Latihan Pengesahan Konsep (POC).
Sistem pengangkutan canggih dan moden ini dijangka beroperasi secara komersial pada tahun 2025 yang mana kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 30 ART beroperasi menjelang suku keempat tahun tersebut.
ART Sarawak yang pertama akan memulakan operasi di jalan raya Kota Samarahan dan Kuching.
Perkhidmatan ini dijangka memanfaatkan rakyat negeri ini khususnya para penuntut di dua buah universiti di Kota Samarahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini mengumumkan pelajar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kota Samarahan akan diberikan diskaun istimewa apabila menumpang ART tersebut.
Ketibaan ART disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Sarawak Metro, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz.
Prototaip ART tersebut yang berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi mampu mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin memaklumkan pelaksanaan projek Fasa 1 Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) telah mencapai 8.25 peratus pada suku pertama 2023.
Fasa pertama ART dijadualkan memulakan operasi secara berperingkat dari suku keempat 2025 hingga suku keempat 2027.
Ia membabitkan tiga laluan projek iaitu Laluan Biru sepanjang 27.6km menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke Pertukaran Hikmah di pusat bandar Kuching, Laluan Merah sepanjang 12.3km dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau sejauh 30km dari Pending ke Damai Pusat.
Projek dianggarkan bernilai RM6 bilion itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Greater Kuching dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang boleh dipercayai, cekap dan moden untuk rakyat.
Sumber dan Gambar Ihsan UKAS