Penyelia sumber manusia rugi hampir RM1 juta, terpedaya pelaburan bitcoin

KUCHING-- Seorang penyelia sumber manusia mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu pada 23 Ogos lalu melibatkan mangsa seorang lelaki berusia lewat 40-an.

"Pada 18 Julai 2023, semasa mangsa berada di sekitar Kuching telah menerima Whatsapp dari nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai agen pelaburan bitcoin. 

"Mangsa kemudian telah diberikan satu link telegram iaitu (http://t.me/paliah) dan id untuk memulakan pelaburan didalam website (https://www.intercambio903.cc/trade/tradelist.html.)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian telah diarahkan untuk memasukkan wang sebagai tujuan pelaburan. 

Jelas Azman lagi, mangsa telah dijanjikan pulangan dari 20 peratus sehingga 50 peratus keuntungan. 

"Mangsa yang telah terperdaya kemudian telah membuat pindahan wang sebanyak RM980,000 secara berperingkat ke 34 akaun bank yang berbeza bermula dari pertengahan bulan Julai 2023 sehingga pertengahan bulan Ogos 2023. 

"Mangsa sedar dirinya telah ditipu setelah sehingga kini mangsa masih belum memperolehi sebarang keuntungan dari pelaburan tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja. 

Tegasnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan. 

"Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya. 

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat. 

"Jangan sesekali memasukkan wang ke akaun bank yang tiada kaitan dengan pelaburan yang dibuat anda. 

"Orang ramai disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my / bnm telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my / (603) 62048999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia)," ujarnya
Next Post Previous Post