Penduduk diintip tujuh ekor buaya sepanjang operasi SAR di Kampung Ulak
LIMBANG -- Penduduk mendakwa ‘diintip” kira-kira tujuh ekor buaya sepanjang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) diwaktu siang dan malam mencari warga emas yang hilang Sahari Mail 66, di Kampung Ulak sejak Khamis lepas.
Ketua Kampung Ulak Roslan Kahar 52, berkata saiz buaya yang dilihat semasa operasi SAR dijalankan sebesar dua kaki dan ada yang bersaiz kecil.
“Memang banyak buaya yang kami sempat lihat. Ada kira-kira tujuh ekor buaya sepanjang menyertai SAR mencari mangsa yang hilang sejak Khamis lepas,’katanya kepada Borneo Network hari ini.
Jelas Roslan lagi serangan buaya pada Khamis lalu merupakan serangan ketiga membabitkan penduduk di Kampung Ulak, manakala satu serangan reptilia ganas itu turut mengorbankan seorang wanita yang juga penduduk di Kampung Binjai.
Katanya kehilangan mangsa dipercayai akibat serangan buaya berdasarkan petunjuk tali bubu yang putus dan belum dijumpai ketika mangsa sedang melihat bubu ikannya.
Katanya tiga lagi bubu milik mangsa masih terdampar di dalam sungai.
Setakat hari ini iaitu hari keenam operasi SAR dilancar, mereka masih buntu kerana belum menemui sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan mangsa meskipun giat menjalankan pencarian yang kini tertumpu di sungai.
“Kita sudah melakukan pencarian sejauh lebih 15 kilometer dari hulu Sungai Limbang hingga ke bandar, namun belum menemui petunjuk dan berdoa ada keajaiban,”katanya.
Pada masa sama katanya serangan reptilia ganas itu membuatkan penduduk tidak senang duduk dan mahu tindakan menangkap buaya ganas itu dapat dijalankan segera.