Pegawai, anggota polis ‘hidup mewah’ dipantau
PETALING JAYA— Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pegawai dan anggotanya yang dikesan mengamalkan gaya hidup mewah tidak setara dengan jawatan serta gaji mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan melakukan risikan siasatan terhadap setiap tohmahan yang dibuat ke atas anggota.
“Ini termasuk melakukan “profiling” terhadap anggota yang didapati memiliki aset atau berbelanja lebih daripada gaji atau kemampuan mereka.
“Sebagai contoh, jika gaji pegawai itu RM8,000 tetapi memiliki tiga rumah dan tiga kereta. Kita akan siasat perbelanjaan rumah, kad kredit dan lain-lain, sama ada ia setara dengan pendapatan,”
“Tindakan juga diambil sekiranya mempunyai maklumat berkaitan anggota dan pegawai kita yang didapati berkaraoke atau mabuk di kelab malam,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Tegas Razarudin, JIPS turut menyiasat pegawai dan anggota yang terpalit fitnah atau dakwaan rasuah sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
Manakala majlis keraian atau program di peringkat daerah, kontinjen mahupun Bukit Aman perlu dilaporkan kepada JIPS dan audit kewangan akan dilakukan bagi mengetahui sumber kewangan.
“Ia adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) JIPS bagi mengekang serta menyekat peluang warga PDRM terlibat dengan aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan institusi itu.
“Setakat 2020 hingga Jun lalu, seramai 447 pegawai serta anggota dikenakan hukuman,” katanya.