Lelaki maut, lori tangki minyak dipandu terbalik
BINTULU—Seorang lelaki berusia 32 tahun menemui maut selepas lori tangki minyak yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di tepi Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Sebubu (berhampiran ladang Sebubu) awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, sepasukan anggota BBP Kidurong dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 pagi.
"Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki yang terbalik di tepi jalan yang mana terdapat seorang mangsa masih berada dalamnya," ujar beliau.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas yang mana mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.20 pagi.
Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan dari KKM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.
Gambar BBP Bintulu