Ketua Pemuda PH Kelvin Yii sambut cabaran debat Syed Saddiq

KUCHING— Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Kelvin Yii menyahut cabaran perdebatan daripada Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membincangkan isu berkaitan belia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching mengesahkan persetujuan itu menerusi beberapa ciapan di Twitter.

Menurut Kelvin, beliau baru saja mengetahui cabaran Syed Saddiq melalui media sosial kerana ketika ini sedang sibuk menumpukan perjalanan kempen bagi pilihan raya negeri (PRN).

“Topik perbahasan (isu berkaitan belia) adalah topik yang sangat penting dan bukan sahaja dekat di hati saya, tetapi yang lebih utama, penting kepada agenda kerajaan perpaduan yang mengutamakan isu penting kepada belia termasuk pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik, perlindungan alam sekitar, peralihan tenaga dan banyak lagi.

“Dan dengan semangat itu, saya sebagai Ketua Pemuda PH menyahut cabaran untuk kita berdebat mengenai semua perkara ini, pada masa dan syarat yang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” katanya lapor Malaysiakini.

Ia susulan rakan dalam gabungannya dari PKR menolak pelawaan ahli parlimen Muar tersebut.

 

Jelas Kelvin, selain kempen PRN beliau turut mnggalas tugas mewakili kerajaan pada perhimpunan peringkat Asean di Jakarta, Indonesia.

“Saya sedia mengatur masa yang sesuai sekembalinya ke tanah air.

“Saya nantikan peluang ini, jom kita berdebat dengan hanya menumpukan kepentingan anak muda selain kestabilan, kemakmuran untuk negara kita yang tercinta,” ciapnya.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim menolak pelawaan debat Syed Saddiq dan mencadangkan calon baru yang terlibat dalam PRN diberi platform sebagai ganti.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari - yang turut dijemput Syed Saddiq untuk debat - turut bersetuju dengan idea itu.

“Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini.

"Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.
Next Post Previous Post