Kapal nelayan terbakar di Jeti LKIM Tanjung Manis, lima kapal SEDC turut terjejas
TANJUNG MANIS-- Sebuah kapal nelayan terbakar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu sekitar jam 5.21 pagi tadi.
Berikutan itu, katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan di lokasi mendapati kebakaran melibatkan beberapa buah kapal nelayan ikan jenis tunda yang berlabuh berdekatan dengan jeti LKIM Tanjung Manis.
"Pasukan bertindak membuat operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 700 kaki 2 pancutan pam jentera dan sumber air dari pili bomba berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, difahamkan terdapat lebih kurang 20 kapal milik SEDC yang berlabuh di jeti LKIM tersebut untuk dibaik pulih dan kebakaran telah melibatkan 5 buah kapal.
Bagaimanapun katanya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada jam 5.40 pagi.
Setakat ini operasi pemadaman masih dijalankan.