Jalan Penom/Ulu Bayor/Danau Ubah Landskap Sosioekonomi, Mudahkan Pengunjung Ke Replika Kubu Rentap
BETONG — Projek pembinaan Jalan Penom/Ulu Bayor/Danau sepanjang 7.43 kilometer (km) yang bernilai RM9.9 juta bakal mengubah landskap sosioekonomi masyarakat Ulu Paku dan Ulu Laya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jalan berkenaan akan menjadi laluan alternatif ke kawasan Bukit Sadok, yang mana akan dibangunkan sebagai satu lagi destinasi ekopelancongan dengan terbinanya Replika Kubu Rentap.
"Dengan siapnya projek pembinaan Jalan Penom/Ulu Bayor/Danau sepanjang 7.43 km nanti, penduduk rumah panjang di sekitar kawasan Ulu Paku dan Ulu Layar akan menikmati lonjakan ekonomi dari industri kraftangan serta aktiviti ekopelancongan dan sukan lasak seperti meredah hutan, cabaran berbasikal gunung dan dan sebagainya.
"Projek jalan raya yang menelan belanja sebanyak RM9.9 juta ini akan menjadi laluan alternatif ke kawasan Bukit Sadok, yang akan dibangunkan sebagai satu lagi destinasi ekopelancongan dengan terbina nya Replika Kubu Rentap," katanya.
Mengenai perancangan pembinaan semula Kubu Rentap itu kata Uggah yang juga ADUN Bukit Saban, ia akan merangkumi replika patung Rentap dan replika meriam ‘Bujang Timpang Berang’.
"Replika yang digunakan untuk menentang penjajahan di era pemerintahan Brooke pada abad ke-19 akan dipamekan di galeri pengunjung.
"Di samping itu, terdapat rumah panjang tradisional dan galeri untuk mempamerkan pelbagai senjata yang digunakan pada waktu dahulu di dalam kawasan kubu tersebut," jelasnya.
Tambahnya, galeri tersebut juga bakal mempamerkan artifak bersejarah yang digunakan pada zaman Brooke.
Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya di laluan berkenaan untuk lebih berhati-hati dan memandu dengan cermat.