Isu tanah Sungai Tumuk: Pernah mohon tapi tidak lulus kerana rizab kubur- Fazzrudin
KUCHING— "Saya pernah memohon tanah di Sungai Tumuk, Jalan Matang untuk dijadikan tanah lot kediaman tetapi tidak diluluskan kerana ia tanah rizab untuk tapak tanah perkuburan," kata Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.
Lebih menyulitkan isu tanah tersebut selepas permohonan berkenaan tidak diluluskan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu, beberapa "orang luar" tetap menceroboh tanah berkenaan dan mendirikan kediaman masing-masing.
"Merujuk kepada tindakan Pejabat Tanah dan Survei yang mengambil tindakan di Sungai Tumuk, Jalan Matang (hari ini), untuk makluman, di kawasan N6 Tupong, ramai keluarga yang berkongsi sebuah rumah yang mana ada tiga ke empat keluarga tinggal dalam satu rumah.
"Jadi saya pun cuba memohon tanah di Sungai Tumuk itu untuk penduduk kampung... Lama sudah sebelum orang membina rumah di situ lagi.
"Tetapi permohonan tersebut tidak diluluskan kerana tanah itu adalah rizab kubur.
"Apabila tidak lulus, maka saya mohonlah tempat lain, tetapi selepas beberapa tahun saya melihat ramai orang dari luar mula membina rumah di tanah berkenaan dan memohon pemilikan tanah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Fazzrudin, tindakan individu berkenaan berkemungkinan tidak mengetahui status tanah tersebut.
"Saya dimaklumkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) individu-individu berkenaan mendirikan struktur tersebut secara haram dan telah dimaklumkan menerusi notis oleh JTS," katanya.
Pada masa yang sama beliau memberitahu, JTS turut memaklumkan kepada individu-individu berkenaan untuk membuka semula struktur rumah yang telah dibina itu kerana ia dibina secara tidak sah di tanah berkenaan.
"Saya sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk N6 Tupong untuk mendapat tanah atau membina kediaman mampu milik untuk mereka dan Alhamdulillah ada beberapa tempat yang sedang diusahakan di peringkat akhir," ujarnya.
Pada hari ini, JTS bertindak merobohkan struktur binaan di tanah berkenaan selepas penduduk ingkar arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Operasi meroboh struktur rumah di tanah berkenaan turut dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.