Eden Garden Cafe destinasi mesti dikunjungi pengemar makanan di Kuching
KUCHING-- Rumah pusaka yang berusia lebih 60 tahun, terletak di Jalan Datuk William Tan, di sini kini merupakan destinasi yang mesti dikunjungi oleh pengemar makanan di sekitar bandar raya ini.
Memetik laporan Jiwa Bakti, rumah berkenaan kini dikenali sebagai Eden Garden Cafe merupakan kedai makanan yang diusahakan oleh anak-anak Allahyarham Mohidin Junit dan Hamdiah.
Pada awalnya, anak-anak Allahyarham menyediakan ruang niaga pada Ramadan lalu untuk disewa kepada peniaga-peniaga kecil.
Kedai makan yang diusaha sepenuh masa oleh adik beradik, Habibah dan Junit Mohidin, berikutan sambutan sangat baik Ramadan lalu.
Disebabkan sambutan positif, mereka mengambil keputusan membuka kafe di perkarangan rumah berkenaan yang berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padungan (dahulu dikenali sebagai SMK Lumba Kuda) merupakan tempat strategik kerana terletak berhampiran banyak cawangan dan pejabat kerajaan serta swasta.
Kata adik beradik itu, Eden Garden Cafe memulakan operasi pada 1 Ogos lalu bertemakan kafe dalam taman yang mana kawasan sekitar dipenuhi tanaman bunga dan pokok-pokok, dibuka bermula jam 7.30 pagi sehingga 10.30 malam pada Isnin hingga Sabtu.
"Sebelum membuka kafe ini, saya mencari pengalaman dengan berniaga kecil-kecilan di warung," kata Mohamed Mohidin, bekas Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan.
Jelasnya, di kafe itu dia menyediakan hampir 20 masakan nasi campur yang dimasak olehnya sendiri dan tukang masak seperti hidangan ayam, ikan, daging, udang dan sayur sayuran.
“Malah, di sini juga terdapat banyak gerai-gerai kecil yang menyewa menawarkan pelbagai juadah menyelerakan dari kedai Mee Goreng Plate; Dhie Laksa; Ayam Penyet; Raja Satay, Mi Jawa Rex dan banyak lagi,” tambahnya.
Pada masa yang sama Mohamed berkata dia akan merasa lauk yang disediakan terlebih dahulu agar menepati cita rasa pelanggan bagi memastikan kualiti makanan terjamin.
Menurutnya, dia turut mewarisi bakat memasak daripada ibunya sebelum ini dan suka mencuba pelbagai resepi masakan melayu tradisional.
“Nama Eden Garden Cafe diambil sempena nama bapa kami iaitu Mohidin. Nama mesranya adalah Eden jadi kami memilih nama tersebut untuk tujuan komersial dengan bertemakan kedai makan ala-ala di dalam taman,” katanya.
Eden Garden Cafe menyediakan kemudahan lain seperti surau dan tandas untuk keselesaan pelanggan.
Justeru, dia berharap dapat mengembangkan kafenya pada masa akan datang seiring mengindahkan kawasan kafe dengan pelbagai tumbuhan dan bunga yang menarik.