Dua maut, kereta terperosok bawah lori treler di Jalan Sibu- Bintulu
SELANGAU--Dua lelaki maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Sibu-Bintulu (Lebuhraya Pan Borneo), petang semalam.
Kemalangan maut itu berlaku sekitar jam 3 petang dengan bahagian hadapan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa remuk akibat terperosok dibahagian hadapan lori treler tersebut, lapor CatsFM.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata siasatan awal mendapati lori treler yang penuh dengan muatan tong gas itu bergerak lurus dari arah Tatau hendak menuju ke Selangau, sebelum berlanggar dengan kereta mangsa yang bergerak dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluannya di Kilometer 132.
Akibat perlanggaran itu, katanya, pemandu Bezza dikenali Maxmilon Joseph, 25, dan penumpang hadapan Jeffery Belimi, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Sungai Arip.
Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu kepala pecah dan kedua-dua kaki dan tangan patah.
Rizal dalam kenyataan hari ini memberitahu, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.
Bagaimanapun, Rizal menambah pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berumur 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.