Dua lelaki cedera, kereta terjatuh ke dalam parit
KUCHING--Seorang lelaki berusia 47 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun cedera selepas kereta jenis Proton Saga FLX terbabas lalu terjatuh ke dalam parit di Jalan Lundu-Sampadi petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota dari BBP Lundu bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.25 petang.
Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam parit.
"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki warga emas terbaring di dalam parit dan seorang lagi lelaki dewasa masih berada di dalam kereta tersebut," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memasang cervical collar dan upper limb splint pada lengan sebelah kanan mangsa yang berada di dalam kereta dan turut memasang cervical collar pada mangsa lelaki warga emas.
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Ambulan Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai.
Gambar PGO Sarawak