Bayi perempuan dibuang tepi tong sampah di Batu Kawa
PADAWAN— Bayi perempuan yang ditemukan di tepi tong sampah berdekatan pasar raya Moyan Square, Batu Kawa pagi tadi dilaporkan dalam keadaan sihat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong yang mengesahkan kes itu berkata, bayi malang tersebut telah dihantar ke Kinik Kesihatan Batu Kawa untuk rawatan dan pemeriksaan.
“Pihak polis masih dalam penyiasatan mengenai kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, orang awam kira-kira jam 9.18 pagi telah menghubungi polis berkaitan penemuan bayi yang masih hidup berdekatan tempat pembuangan sampah.
Sementara itu pagi tadi penduduk gempar dengan penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat dalam kotak di tepi tong sampah di Moyan Square pagi tadi.
Menurut penduduk, bayi berkenaan dijumpai oleh pekerja syarikat pembersihan ketika sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu pada jam 7 pagi.
Bayi tersebut kemudian diserahkan kepada pengunjung di kedai kopi berhampiran sementara menunggu ketibaan polis dan ambulans.