Anak yatim diangkat Steven Sim berjaya ke UIA
KUCHING-- Ayah sudah meninggal dunia, ibu kini berhempas pulas menjaga keluarga menjadi pembakar semangat buat Puteri Aisha Balkis mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor suatu masa kelak.
Begitulah kisah yang dikongsikan Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong menerusi akaun Facebooknya yang memberitahu, anak angkatnya itu kini bergelar mahasiswaUniversiti Islam Antarabangsa (UIA).
"Anak angkatku ke menara gading. Ini kisah Puteri Aisha Balkis, ayah kandungnya sudah tiada dan ibunya Hajar sudah sekian lama berhempas pulas menjaga keluarga.
"Masa arwah ayahnya Abang Rano masih terlantar koma, saya melawat rumah mereka beberapa kali. Ketika salah satu lawatan itu, saya bisik kat Rano, suruh dia jangan risau, saya akan jaga Balkis macam anak saya sendiri.
"Saya ambil Puteri Balqis jadi anak angkat saya sejak dia Tingkatan 4 dan tiap-tiap bulan saya bagi elaun macam anak sendiri. Dia perlu laptop masa pandemik, saya belikan.
"SPM tahun ini, Puteri Balqis dapat 8A. Saya janji kat anak-anak angkat saya, setiap A, ayah bagi RM100 sebagai ganjaran buat motivasi," kongsinya.
Malah, Steven Sim juga amat gembira apabila anak angkatnya itu berjaya melanjutkan pelajaran ke UIA.
"Hari ni, saya nak bagitau dunia, saya rasa amat bangga sekali, anak angkat saya Puteri Balqis hantar gambar dia di UIA.
"Dia bercita-cita nak jadi doktor suatu hari nanti. Saya yakin dia boleh. Teruskan usahamu anakku. Balas jasa arwah ayah dan ibumu dengan kesungguhan menuntut ilmu sehingga berjaya, kemudian menabur bakti kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.
"Saya gembira tengok gambar Puteri Balqis menggunakan IPad yang saya beli untuknya sebelum dia pergi UIA hari itu. Warna pink tu dia yang pilih sendiri.
"Abang Rano, Puteri Balqis sudah berjaya ke Menara Gading. Hajar pun kini bahagia. Bertenanglah mu di sana," ujarnya.
Kisah itu juga mendapat respon positif dari kalangan warganet yang memuji keihlasan Steven Sim membantu mereka yang memerlukan.
Antara pujian itu, "Yang Berhormat (YB) yang terbaik, tidak memilih agama atau bangsa bila nak membantu. Inilah keikhlasan sejati. Semoga YB diberkati dengan kesihatan yang baik".