3 cedera, dua lori bertembung
SRI AMAN—Tiga individu mengalami kecederaan dalam kemalangan yang melibatkan perlanggaran dua buah lori di Jalan Kuching-Sri Aman awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, sepasukan anggota dari BBP Sri Aman bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan dua buah lori yang mana terdapat seorang pemandu dan dua penumpang tersepit dalamnya," ujar beliau.
Dalam pada itu, pemandu atau kelindan sebuah lagi lori yang berada di hadapan lori tiada lagi dalam lori berkenaan semasa pasukan bomba tiba.
Pasukan Bomba kemudiannya bertindak menggunakan peralatan menyelamat bagi mengumpil pintu dan berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.
Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja semburan bagi membersihkan sisa-sisa kemalangan dan setelah keadaan didapati benar-benar terkawal sebelum operasi ditamatkan pada jam 7 pagi.
Gambar PGO Sarawak