Warga emas, pesara jadi sasaran "Scammer"
KUCHING-- Golongan warga emas dan pesara kini dilihat menjadi golongan sasar kepada penjenayah penipuan dalam talian sejak akhir-akhir ini kata Ketua Biro Aduan SUPP Milton Foo.
Jelasnya,warga emas dan pesara kini menjadi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu wang simpanan milik golongan itu.
"Sejak kebelakangan ini, golongan warga emas dan pesara menjadi sasaran Scammer ini kerana mungkin mereka kurang terdedah kepada maklumat berkaitan penipuan ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP di sini hari ini.
Malah, kata Milton, baru-baru ini, seorang wanita hampir menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon.
"Wanita terbabit menerima panggilan yang mendakwa dari syarikat perkhidmatan kurier dan mengatakan mangsa mempunyai bungkusan untuk dihantar melalui kurier dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang mengandungi barang haram termasuk beberapa kad pengenalan dan pasport.
"Pemanggil (suspek) itu kemudiannya memindahkan talian ke Bukit Aman dan seorang pegawai polis berpangkat tinggi yang mendakwa diri sebagai “Datuk Sapuan” menyoal siasatnya melalui telefon mengenai akaun banknya dan mengatakan dia disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Mangsa kemudian berasa takut dan diberitahu oleh pegawai tersebut untuk mengikut arahannya kerana dia cuba membantunya menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Tambah Milton, mangsa selanjutnya dinasihat oleh pegawai tersebut untuk pergi ke bank untuk mengeluarkan wang dan memasukkan ke akaun bank lain untuk menyimpan wangnya.
"Apabila tiba di bank, mangsa merasakan sesuatu yang tidak kena dan pergi berjumpa pengurus cawangan.
"Mangsa kemudian segera menghubungi saya semasa dia bersama pengurus bank tersebut," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati mangsa supaya mengarahkan bank menggantung atau membekukan semua akaun bank dan juga menyuruhnya meminta bank menyemak baki akaun bank.
"Saya secara khusus memberitahunya jangan gunakan telefon pintarnya untuk log masuk ke aplikasi bank untuk menyemak baki atau melakukan sebarang transaksi.
"Nasib baik, dia memberitahu saya semua simpanannya di bank masih ada apabila disemak oleh bank.
"Saya kemudian memintanya membuat laporan polis dan memberikan salinan kepada bank," ujarnya.
Oleh itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon yang mendakwa diri daripada pihak berkuasa dan sebagainya.
"Polis atau mana-mana pihak berkuasa yang menguat kuasa undang-undang tidak akan sekali-kali menyoal siasat orang melalui telefon atau e-mel atau WhatsApp atau mesej teks.
"Prosedur yang betul dan sah untuk mengambil atau merekod kenyataan akan dijalankan jika seseorang itu adalah suspek bagi mana-mana aktiviti jenayah termasuk kesalahan pengubahan wang haram dan proses rakaman akan dilakukan di balai polis jika dia adalah suspek atau subjek untuk siasatan," tegasnya.
Menurutnya lagi, apabila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa dari syarikat kurier, atau institusi swasta atau pihak berkuasa, minta ID pemanggil seperti nama penuh dan nombor kakitangannya.
Katanya, jika pemanggil mengaku dari PDRM, minta nombor ID Polisnya dan dari balai polis mana.
"Anda kemudian boleh memberitahu pemanggil untuk menghubungi semula kemudian dan kemudian anda boleh meletakkan telefon.
"Gunakan telefon lain untuk membuat panggilan untuk pengesahan mengenai maklumat yang anda terima sebentar tadi.
"Selepas menerima sebarang panggilan telefon yang pelik, jangan sekali-kali dan jangan gunakan telefon anda untuk menyemak baki akaun bank anda," jelasnya.