Warga emas hilang akhirnya ditemukan dalam perut buaya
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat semua anggota badan berada di dalam perut haiwan itu. Gambar kredit Kosmo |
TAWAU— Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak Rabu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemukan dalam perut buaya di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita, di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mayat Addi Bangsa, 60, ditemukan selepas perut reptilia itu dibelah oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
“Pperasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat selepas mangsa dilaporkan hilang disyaki dibaham buaya.
"Pada hari keempat, pihak kami dimaklumkan bahawa JHL telah menemui seeor buaya jantan yang dipercayai membaham mangsa dan haiwan itu ditembak kira-kira jam 3 pagi Ahad,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Jemishin menambah, buaya yang ditembak di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita itu kemudian dibelah sekitar jam 9 pagi sebaik ahli keluarga tiba.
“Buaya yang ditembak mati oleh JHL itu mempunyai berat kira-kira 800 kilogram dan panjang melebihi empat meter.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat semua anggota badan berada di dalam perut haiwan itu namun dalam keadaan terpisah dan ahli keluarga telah mengesahkan mangsa," katanya
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat semua anggota badan berada di dalam perut haiwan itu. Gambar kredit Kosmo |
Berikutan penemuan mayat mangsa di dalam perut haiwan itu, operasi kemudian ditamatkan pada jam 11 pagi.
Terdahulu media melaporkan mangsa yang juga nelayan dipercayai telah dibaham buaya ketika turun ke botnya kira-kira jam 4 pagi, Rabu lalu.