Warga emas cedera parah, kereta dipandu bertembung 4WD
SIBU: Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan parah selepas kereta Perodua Kancil yanh dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) di Batu 14 Jalan Sibu-Bintulu pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota BBP Sibujaya bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.33 pagi.
"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan 4WD yang mana seorang pemandu kereta Perodua Kancil masih tersepit di kerusi bahagian hadapan kereta," ujarnya.
Pemandu 4WD terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas rescue tools yang berada dalam keadaan cedera parah dan masih lagi dalam keadaan separuh sedar.
Setelah mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya.
Setelah operasi selesai dan memastikan keadaan benar-benar selamat, pasukan bomba berangkat balik ke balai.
PGO Sarawak