Warga Brunei terkejut dapat 13 saman tertunggak berjumlah RM2,830 dari tahun 2010 hingga 2014
MIRI— Seorang warga Brunei mendakwa menerima 13 saman tertunggak sebanyak RM2,830 yang dilakukan antara tahun 2010 hingga 2014.
Menurut perkongsian individu tersebut di Facebook, dia mengetahui perkara itu semasa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa Malaysia menuju ke Jambatan Asean, Kuala Baram, semalam.
“Apa yang mengejutkan, saya membeli kereta tersebut pada 2021, itupun dapat dikira beberapa kali sahaja datang ke Miri.
“Dalam sistem, jenama kereta dan orang yang kena saman pun tidak sama, malah dalam kad biru saya terbukti saya membeli kereta tersebut pada 2021. Sedangkan saman itu berlaku dari tahun 2010 hingga 2014.
“Mungkin kerana nombor kereta saya ini digunakan semula atau mempunyai nombor yang sama di Malaysia, pihak berkuasa meminta saya membayar saman tersebut.
“Jumlah RM2,830 atau sekitar B$700 bukan sedikit dan tidak adil saya membayar saman atas kesalahan orang lain,” katanya dalam perkongsian itu.
Dia menambah, hantaran itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak namun sebagai peringatan kepada warga Brunei yang datang ke Miri terutama yang menggunakan kereta terpakai atau nombor yang diguna semula.
Berbalik kepada kejadian itu katanya, mujurlah pihak berkuasa Malaysia bertimbang rasa dan menerima penjelasan dengan baik.
“Mereka setuju melepaskan kenderaan saya tanpa membayar saman dengan syarat berpatah balik ke Brunei pada masa itu juga.
“Alhamdulillah kami bersyukur lah kena release, daripada kena suruh bayar RM2830 which is around $700+. But its just so frustrating, sudah pun u already paid $6 for EES, minyak to Miri sudah berapa and money we changed sudah berapa.
“Tak payah cakaplah berapa lama kami berbaris, masha Allah dugaan. But again, Alhamdulillah. The officer we talked to was really nice, inda kasar, and berbudi bicara. I think he also understands its not fair for us to pay, but he was just doing his job to insist us to pay,” katanya.
Dia turut menggesa pihak berkuasa atau pelancongan Brunei dapat mengadakan perbincangan dengan pihak Malaysia bagi menggelak masalah seumpama ini berulang lagi pada masa hadapan.
“Tidak adil kepada warga Brunei membayar saman yang bukan kesalahan apalagi jika ia berlaku di Kuala Lumpur atau Johor. Semalam ramai kenderaan warga Brunei kena tahan. Jika saman sekitar RM50 hingga RM150, mungkin kami tutup mata, namun lebih dari itu ia tidak adil,” katanya.