Usaha cari empat kru kapal MV Tung Sung disambung esok, kapal berjaya diterbalikkan semula
SEBUYAU-- Operasi CARILAMAT empat lagi kru kapal MV Tung Sung yang masih hilang akan disambung esok selepas kapal berkenaan berjaya diterbalikkan semula petang tadi.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus yang memaklumkan perkembangan terkini kes itu berkata, kapal MV TUNG SUNG telah berjaya diterbalikkan semula dan telah ditarik ke posisi sekitar 8 batu nautika barat laut dari Sebuyau.
"Kapal berkenaan ditarik ke lokasi yang baru untuk distabilkan sepenuhnya dahulu.
"Pusat Koordinasi CARILAMAT Maritim (MRSC) Kuching akan mengetuai OP CARILAMAT melibatkan aset-aset di laut bagi mencari empat kru kapal tersebut disyaki terperangkap di dalam kapal MV TUNG SUNG bermula esok , yang melibat agensi-agensi penyelamat yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan mengetuai operasi pencarian di atas kapal MV TUNG SUNG pada esok.
"Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti LSS Sebuyau akan dibuka pada 31 Julai 2023 jam 8.00 pagi, esok.
"Sekiranya ada penemuan mayat, akan dibawa ke Jeti Lembaga Sungai-sungai Sarawak, Sebuyau untuk tindakan lanjut pihak PDRM," ujarnya.