Tukang cuci warga asing jatuh tingkat 29, kepala terputus
PETALING JAYA: Lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya terputus dipercayai terjatuh tingkat 29 bangunan perniagaan di Bandar Utama semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang, mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemui orang awam yang berada di lokasi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata anggota Balai Polis Damansara ke lokasi untuk pemeriksaan sejurus menerima panggilan kejadian.
Pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di bahagian tepi bangunan dalam keadaan kepala terputus daripada badan.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah restoran di tingkat 29 bangunan berkenaan.
"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu kelihatan berada di balkoni pada 2.46 petang sebelum kelibatnya tidak kelihatan lagi dipercayai terjatuh dari balkoni itu," katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohamad Fakhrudin meminta individu yang melihat atau berada di lokasi kejadian menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Fatin Afifa Shahpri di talian 013-7353589 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.