Tiong tidak hadir ke pejabat SPRM, siap pesan media jangan tunggu
PUTRAJAYA— Tiada kelibat Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing dan wanita China kelihatan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Malaysiakini melaporkan, mereka sepatutnya disoal siasat oleh SPRM susulan kejadian di Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila pelancong warga China itu disekat masuk.
“Difahamkan bahawa Tiong tidak akan hadir untuk bertemu suruhanjaya antirasuah itu hari ini,” katanya.
Khamis lalu, media arus perdana melaporkan Ahli Parlimen Bintulu itu melepasi kaunter imigresen untuk "menyelamatkan" seorang pelancong yang ditahan.
Menteri itu mengakui perbuatannya dan berkata ia bagi mendedahkan wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara.
Sementara itu Tiong dikatakan meminta petugas media tidak menunggunya di ibu pejabat SPRM.
"Kenapa tunggu di sana? Siapa suruh awak tunggu? Balik. Pergi buat perkara lain yang lebih produktif," katanya kepada NST.
"Kami mahu menyelesaikan perkara ini dengan cara yang baik. Mengapa anda mahu menyebabkan lebih banyak kerosakan," katanya.